fbpx

Kalam bukan lagu ‘sendu’ – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shiha Zikir

PETALING JAYA – Penyanyi Shiha Zikir sebak apabila karya etnik kreatif nyanyiannya berjudul Kalam layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) sekali gus membuktikan lagu tersebut bukan sebuah karya ‘sendu’.

Shiha, 37, yang ditemui selepas pengumuman finalis AJL38 baru-baru ini berkata, ada suara-suara sumbang yang menyifatkan karya nukilan sendiri bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves itu tidak layak untuk dipertandingkan.

“Memang ada yang mencemuh dan melabelkan Kalam sebuah lagu sendu. Sebenarnya dari dulu sampai sekarang, prinsip saya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

“Jika benar Kalam sebuah lagu sendu, tak mungkin karya ini akan dipilih sebagai 30 buah lagu di peringkat separuh akhir kerana untuk berada di SFMM memerlukan undian yang cukup daripada peminat,” jelasnya.

Pada masa sama, Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd. Zikir mengakui menyimpan impian untuk melihat sebuah karya berentak etnik dan tradisional dipertandingkan ke pentas AJL38.

“Apabila Kalam diumumkan layak ke AJL38, saya bukan sahaja gembira, malah bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat saya kerana dihasilkan dengan rentak tradisional fusion.

“Saya memang nak sangat lagu berentak tradisional atau etnik seperti ini (Kalam) layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” jelasnya.

Terdahulu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemaraan Shiha ke pentas AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.

Shiha bagaimanapun berkata, penglibatannya ketika edisi AJL35 adalah kerana menggantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan menyanyikan lagu 7 Nasihat.

Shiha kemudiannya sekali lagi kembali dalam AJL36 menerusi karya sendiri dengan menyanyikan lagu AEWO bersama Noki.

Rezeki berpanjangan apabila Shiha meneruskan langkahnya apabila sekali lagi layak ke pentas AJL37 menerusi lagu Irama, sekali gus memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Ujar penyanyi genit itu, setiap kali tampil dengan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kualiti lagunya dalam memenuhi cita rasa pendengar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI