KUALA LUMPUR – Ibu pelajar, Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang didakwa melarikan diri dari sebuah sekolah asrama penuh, di Cheras, di sini kerana didakwa dibuli selesai membuat laporan polis, hari ini.
Shuhada Jamaludin, 38, ketika dihubungi Kosmo! berkata, laporan polis tersebut dibuat meskipun anaknya kini masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Saya sudah buat laporan polis pagi tadi, dia (Daniel) masih lagi menerima rawatan di hospital.
“Saya harap anak saya dapat keadilan yang sewajarnya. Ini baru sahaja langkah pertama, iaitu buat laporan polis, banyak lagi proses perlu saya hadapi selepas ini,” katanya.
6 Disember lalu, Muhammad Danial Akmal, 14 dilaporkan hilang dari sebuah sekolah berasrama penuh di Cheras disyaki melarikan diri kerana dibuli.
Bagaimanapun, remaja berkenaan ditemui semula dua hari kemudian oleh orang awam dalam keadaan lemah di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak. – KOSMO! ONLINE.