KOTA BHARU – Ibu kepada bayi yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di depan sebuah bank di Kuala Krai dekat sini hujung bulan lalu masih trauma dengan kejadian tersebut sehingga kerap terjaga daripada tidur pada pukul 4 pagi hampir setiap hari.
Nur Hasifah Razni, 25, berkata, sehingga kini, dia tidak boleh tidur nyenyak selepas pemergian anak tunggalnya, Wan Sabeena Arisha Wan Sharizat Azwan berusia tujuh bulan yang rentung dalam kemalangan kira-kira pukul 4.40 pagi pada 27 November lalu.
Menurutnya, keadaan semakin sukar buatnya apabila suami, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, yang melecur 80 peratus meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, lapan hari kemudian.
“Saya masih trauma. Sehingga kini, saya tidak boleh menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh kerana bimbang akan berlaku kemalangan.
“Jika lihat pembahagi jalan atau lubang, saya berasa takut dan masih terngiang-ngiang teringat kejadian yang berlaku kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tapang, Panji di sini hari ini.
Terdahulu, Nur Hasifah menerima baucer pencen penakat pertama arwah suaminya yang diserahkan oleh Pengarah Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob.
Nur Hasifah yang bekerja di sebuah klinik di Berek 12, di sini memberitahu, meskipun trauma kesan daripada kejadian yang menimpanya, dia akan terus bekerja selepas ini.
Menceritakan semula detik selepas kejadian, Nur Hasifah berkata, arwah suaminya sempat meminta maaf kerana dia mengakui tidak nampak pembahagi jalan sehingga kereta Honda Jazz dipandunya merempuh kawasan tersebut.
“Arwah suami tiada hutang dengan saya kerana hajatnya sudah tertunai apabila dia sudah membawa kami sekeluarga makan angin di Kuala Lumpur.
“Dia juga suka berjalan-jalan sekiranya tidak bekerja. Arwah juga pernah berpesan agar saya menjaga Wan Sabeena Arisha sekiranya dia pergi dahulu. Tetapi, kedua-dua mereka sudah pergi dalam tragedi yang sama,” katanya.
Sementara itu, Nora berkata, selepas semakan dibuat, Nur Hasifah layak menerima pencen penakat berjumlah RM546.98 setiap bulan sehingga akhir hayat.
Katanya, wanita itu juga layak menerima faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 yang sudah dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Semua majikan perlu mendaftar dan mencarum Perkeso bagi melindungi pekerja mereka sekiranya berlaku bencana semasa bertugas,” katanya. – KOSMO! ONLINE