fbpx

Fasa pertama Lembah Chuping catat pelaburan RM2.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai pentadbiran negeri dan 150 pelabur berpotensi bergambar sempena program CVIA Stakeholder's Day di Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Kerajaan negeri optimis pembangunan kawasan industri Lembah Chuping (CVIA) ketika ini mengikut perancangan ditetapkan dengan fasa pertama merekodkan jumlah pelaburan terkumpul RM2.9 bilion.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, dalam perkembangan terkini, enam syarikat domestik dan antarabangsa komited untuk melakukan pelaburan di kawasan fasa pertama CVIA.

“Buat masa ini, beberapa fasiliti antaranya seperti jalan, elektrik, telekomunikasi dan gas disediakan di tapak fasa pertama projek manakala bekalan air pula akan mula dimasukkan sekitar pertengahan tahun hadapan.

“Fasa pertama pelaksanaan projek CVIA membabitkan kawasan tanah seluas 178.0617 hektar dengan dilengkapi infrastruktur asas bagi kemudahan para pelabur.

“Pelabur juga akan memulakan pembinaan kilang-kilang mereka selepas ini melibatkan beberapa syarikat dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui selepas CVIA Stakeholder’s Day: Towards Forging Growth And Prosperity di Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) CVIA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhd.Khair berkata, keluasan keseluruhan pembangunan di CVIA adalah kira-kira 998.764 hektar dan bakal menjadi kawasan perindustrian baharu bagi mengubah Perlis sebagai negeri industri menjelang 2030.

“CVIA dijangka menyumbang lebih RM2.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan bakal menarik RM4.5 bilion pelaburan swasta. Di samping itu, CVIA juga dilihat dapat mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI