MANJUNG – Seorang anggota polis maut setelah motosikal ditungganginya hilang kawalan akibat mengelak daripada melanggar haiwan sebelum terbabas di Jalan Kg. Cina di Pantai Remis di sini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya telah dimaklumkan pada pukul 2.35 petang mengenai kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang anggota polis Pantai Remis.
Katanya, anggota tersebut dipercayai telah terbabas sendiri di lokasi berkenaan ketika sedang menjalankan tugas.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kg. Cina, Pantai Remis melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS yang ditunggang oleh seorang lelaki yang merupakan anggota Balai Polis Pantai Remis.
“Dia sedang menjalankan tugas bergerak dari arah pekan Pantai Remis menghala ke Kg. Cina. Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal tersebut dipercayai telah hilang kawalan semasa mengelak haiwan lalu terbabas melanggar tiang Telekom Malaysia (TM) di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Nordin berkata, kira-kira pukul 6.30 petang, pihaknya menerima panggilan mengatakan anggota polis tersebut disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung dan telah diserahkan kepada Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.
Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Wan Amiratul Syuhada Wan Zureimy di talian 011-1690 6701,” katanya. – KOSMO! ONLINE.