KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan yang membuat pelbagai barangan besi dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini petang tadi.
Mangsa, Mohd. Zulhilmi Mohd. Zamri, 37, disedari jatuh dari jambatan itu oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang.
Ibu mangsa, Aziah Umar, 64, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya itu selepas gambar trak pikap jenis Toyota Hilux milik mangsa yang berada di jambatan berkenaan tular di media sosial, kira-kira pukul 4 petang tadi.
Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian bersama seorang lagi anaknya sebelum mendapati kenderaan tersebut dipakir di tepi jalan di atas jambatan itu.
“Menantu saya yang juga isteri mangsa memaklumkan bahawa Mohd. Zulhilmi ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja di Wakaf Bharu, Tumpat.
“Anak saya sudah lebih setahun mengalami gangguan suara halus. Sebelum ini, dia sudah menjalani rawatan dengan bomoh tradisional di beberapa tempat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian, hari ini.
Aziah memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan mangsa ketika anaknya itu datang bersama keluarga untuk makan tengah hari di rumahnya di Kampung Tapang, di sini pada Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.55 petang sebelum seramai 29 pegawai dan anggota termasuk sembilan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di sekitar kawasan jambatan itu, namun mangsa gagal ditemui.
“Operasi dihentikan kira-kira pukul 6 petang tadi dan akan disambung semula pagi esok. Sesiapa yang ada masalah kemurungan atau tekanan boleh hubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999,” katanya. – KOSMO! ONLINE