fbpx

102 laporan polis dibuat kes kerosakan rumah, haiwan ternakan ketika banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang remaja yang berlindung di PPS SK Sri Rantau Panjang 2, Rantau Panjang hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/KOSMO!

RANTAU PANJANG – Polis menerima sebanyak 102 laporan melibatkan kerosakan rumah, haiwan ternakan dan tanaman penduduk terjejas banjir di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan tersebut diterima daripada mangsa yang terjejas semasa gelombang pertama dan kedua banjir di Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah selain beberapa daerah lagi.

Menurutnya, polis menerima sebanyak 19 laporan melibatkan kejadian tersebut semasa gelombang kedua banjir manakala selebihnya semasa gelombang pertama pada hujung bulan lalu.

“Setakat ini, tiada laporan mengenai kejadian pecah rumah ketika mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Polis sentiasa menjalankan pemantauan, rondaan berkala di kawasan terjejas banjir bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, sehubungan itu, penduduk tidak perlu bimbang meninggalkan rumah mereka dan sekiranya perlu berpindah ke PPS.

Menurutnya, bagaimanapun, situasi banjir di Rantau Panjang ketika ini dilihat semakin pulih apabila air bah di kebanyakan kawasan sudah surut.

“Keadaan paras air Sungai Golok berada pada paras bertahan tetapi, ia masih menunjukkan bacaan bahaya. Kebiasaannya, apabila banjir di Rantau Panjang surut, kebanyakan kawasan di Tumpat pula akan dinaiki air. Kali ini, Tumpat tidak banjir meskipun Rantau Panjang sudah dua kali dilanda bah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI