NEW DELHI, India – Seorang wanita berusia 35 tahun maut diseret kereta api selepas sari yang dipakainya tersangkut pada pintu gerabak, lapor laman berita Wion News semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Reena, mengalami kecederaan otak dan dada akibat insiden itu. Dia diseret beberapa meter selepas sebuah kereta api bawah tanah, Metro Delhi mula bergerak.
Wanita tersebut kemudian dikejarkan ke Hospital Safdarjung di mana dia disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Menurut doktor, Reena kritikal apabila dia tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Pesuruhjaya keselamatan kereta api Metro berkata, siasatan telah dilancarkan berhubung kejadian itu.
Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), Reena dilihat sudah memasuki kereta api, namun dia berpatah balik untuk mengambil anaknya yang berada di luar. – AGENSI