SHAH ALAM – Penyanyi Ernie Zakri memberitahu hubungannya dengan Nadeera baik-baik sahaja dan tidak mempunyai apa-apa masalah dengannya berhubung isu lagu Astana yang menjadi kontroversi di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).
Ernie ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia faham situasi yang berlaku ke atas Nadeera, 30, apabila penyanyi itu juga tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku.
Malah, Ernie berkata, Nadeera ada menghubunginya menerusi mesej (DM) dalam Instagram untuk memohon maaf.
“Saya faham apa yang berlaku ke atas Nadeera sebab dia sendiri pun tidak tahu menahu apa yang berlaku. Hubungan kami baik-baik sahaja.
“Malah dia juga ada berhubung dengan saya menerusi Instagram dan memberi penjelasan panjang lebar.
“Saya sudah pun berbincang dengan Nadeera tentang perkara ini dan semuanya telah selesai. Malah, saya sangat menghormati kesudiannya untuk menyanyikan lagu ini (Astana),” kata Ernie kepada Kosmo! Online.
Tambah pemilik nama lengkap Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, itu lagi, jika situasi sama terjadi kepadanya, dia juga tidak akan menolak untuk menjadi penyanyi ganti dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Kalau saya berada di tempat Nadeera pun, saya akan menyanyikan lagu Astana. Tiada apa yang harus dipersalahkan kerana Nadeera hanya menggalas tanggungjawab.
“Atas apa yang berlaku ini, saya percaya dia mesti sedih. Tapi kami tiada sebarang isu dan hubungan kami baik.
“Dia cakap maaf dan saya juga cakap maaf. Kami berdua tersepit sebab tidak tahu apa yang berlaku. Sebagai penyanyi, saya cari makan dan dia pun cari makan dalam bidang ini,” jelasnya.
Pada masa sama, Ernie yang ditemui usai pengumuman 12 finalis yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), di sini, semalam turut meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya diberikan keizinan untuk menyampaikan sendiri lagu ciptaannya itu.
Tambahnya lagi, dia tidak mahu lagi mengingati isu tersebut dan perlu menghormati label baharunya iaitu Universal Music Malaysia.
“Sudah pasti saya tertekan dengan kontroversi yang membabitkan lagu Astana. Tapi saya tidak mahu ingat semula keadaan itu dan perlu menghormati label baharu iaitu Universal Music Malaysia.
“Apa-apa pun, saya sangat bersyukur apabila pihak syarikat rakaman memberikan keizinan untuk saya menyanyikan lagu Astana.
“Saya sendiri tak sangka perjuangan ini sampai ke AJL. Kalau saya tak lawan untuk lagu ini secara peribadi, rasa tidak seronok,” katanya.
Ketika diiminta untuk mengulas mengenai perasaannya apabila berjaya layak ke AJL38, isteri kepada Syamel itu meluahkan rasa syukur dan gembira.
“Saya rasa sangat gembira apabila Astana layak ke AJL38. Ini bukan kerja saya seorang, tetapi turut melibatkan kerja keras semua pihak yang terlibat dalam penghasilan lagu ini
“Saya sebagai penyanyi asal dan komposer lagu Astana sudah pasti rasa gembira dan bersyukur. Lagu ini adalah sangat peribadi untuk saya. Nilai sentimental pada lagu ini sangat besar. Kerana lagu ini merupakan kesinambungan kepada lagu Ku Bersuara,” ujarnya.
Kontroversi lagu Astana sewaktu SFMM38 timbul selepas karya ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman itu digantikan oleh penyanyi Nadeera.
Bagaimanapun, Ernie mendakwa tidak tahu apabila namanya digugurkan ketika pengumuman 30 lagu yang layak ke SFMM38, baru-baru ini.
Kate Ernie, keputusan penukaran penyanyi untuk lagu berkenaan tanpa sebarang makluman seolah-olah tidak menghormati dirinya sebagai penyanyi asal.
Malah, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, jika perkara tersebut berterusan (lagu Astana dinyanyikan Nadeera), dia bersama komposer lain terlibat akan menarik diri daripada SFMM38.
Sementara itu, penyanyi Nadeera ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia telah diminta oleh syarikat rakaman Rocketfeul Entertainment untuk menggantikan Ernie, tanpa mengetahui punca masalah sebenar.
Penyanyi itu turut beranggapan bahawa Ernie dan juga Rocketfeul telah pun berbincang dan bersetuju untuk Astana dinyanyikan olehnya semasa SFMM38, sebelum isu sebenar dibangkitkan.
Bagaimanapun, Nadeera tidak berkecil hati, malah menyokong dan bersetuju jika Astana dinyanyikan sendiri oleh Ernie, memandangkan lagu tersebut adalah nyanyian dan ciptaannya sendiri. – KOSMO! ONLINE