GEORGE TOWN – Seorang bekas pesakit Covid-19 memberitahu dia tidak mahu lagi situasi orang mati dan pesakit bergelimpangan di hospital terjadi sekali lagi sekiranya wabak itu kembali menyerang negara.
Zambri Mohd. Isa, 44, berkata, keadaan itu dialaminya ketika dimasukkan ke wad kecemasan sebuah hospital di Selangor ketika disahkan menghidap jangkitan virus yang teruk pada 1 Julai 2021.
Katanya, sehingga kini dia dibayangi kisah ngeri dan kesakitan yang diibaratkan hanya menunggu ajal.
“Saya yang tidak mampu berdiri tunggu 16 jam sebelum dimasukkan ke wad kerana begitu ramai pesakit seolah-olah berada dalam medan perang.
“Ada yang duduk atas kerusi, lantai, katil dan tempat usungan. Saya bergantung pada tong oksigen dan menjamah sedikit makanan sehingga naik wad,” katanya.
Menurut Zambri, dia juga terpaksa tidur di sebelah mayat selama 12 jam selepas pesakit berusia dalam lingkungan 60-an itu meninggal dunia pada pukul 2 pagi.
Tambahnya, dia kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi apabila keadaannya semakin kritikal selepas empat hari.
“Saya sudah tinggalkan pesanan kepada keluarga supaya dikebumikan di sebelah pusara ayah. Benda paling sakit ialah darah diambil dari arteri dua kali sehari,” katanya.
Sehubungan itu, Zambri menasihatkan orang ramai jangan sesekali leka dan ambil mudah ketika wabak itu kembali menular di negara ini.
“Jaga diri semua,” katanya.