PETALING JAYA – Ketua Biro Al-Jazeera di Gaza, Wael Al-Dahdouh terus gagah melaporkan situasi terkini yang berlaku di Gaza dan mengetepikan keadaan dirinya yang cedera akibat ditusuk serpihan peluru berpandu yang dilancarkan rejim Israel.
Ekoran kejadian tersebut, Wael dimasukkan ke hospital Al-Nasr selepas menjadi sasaran serangan Israel semasa dia melaporkan dari Khan Younis, Gaza.
Perkongsian tersebut telah dimuat naik oleh @shaunking di laman Instagram yang mana dia mengagumi keberanian dan sifat tekad ketua biro Gaza itu dalam menjalankan tugas.
“Dengan berbekalkan sebuah mikrofon, keimanan yang tinggi dan keazaman untuk negara, dia teruskan perjuangannya melaporkan kekejaman Israel dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.
“Mereka (Israel) telah bunuh keluarga dan jurukamera lelaki ini. Kini, mereka juga cuba untuk membunuhnya,” tulis sumber di ruangan kapsyen.
Menurut Shaun, ahli keluarga Wael memaklumkan Wael kini berada dalam kesakitan dan dia tidak boleh menggunakan tangan kanannya.
“Israel dan AS telah kalah dalam peperangan ini. Serangan maut mungkin akan berterusan tetapi mereka sudah pun kalah kerana adanya Wael,” ujarnya.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 92 wartawan telah terbunuh dalam pertempuran kejam Israel yang berlanjutan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober pejabat media kerajaan di Palestin. – KOSMO! ONLINE.