fbpx

Peralihan tenaga bersih perlu kebersamaan semua negara – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir pada Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community- AZEC) di Tokyo, Jepun hari ini.

PETALING JAYA – Malaysia menekankan kebersamaan semua negara dalam memainkan peranan lebih aktif berkaitan kerjasama dana hijau, insentif, fasilitasi teknologi dan infrastruktur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan ini antara lain untuk membantu Malaysia mempercepatkan peralihan tenaga.

Katanya, Malaysia juga percaya peralihan tenaga seharusnya saksama, inklusif dan adil, dengan tindakan ke arah kemajuan merangkumi model kolaborasi dan kerjasama yang progresif.

“Malaysia menghargai peranan Jepun dalam menyediakan platform ini bagi perbincangan dan persediaan dalam melaksanakan peralihan tenaga.

“Saya singgung kepentingan pemuliharaan dan pemugaran alam sekitar dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sekali gus mampu mencapai Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050.

“Saya turut menekankan kebersamaan semua negara dalam memainkan peranan lebih aktif berkaitan kerjasama dana hijau, insentif, fasilitasi teknologi dan juga infrastruktur dalam membantu Malaysia mempercepatkan peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar bersama delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community- AZEC) di Tokyo yang berlangsung kira-kira pukul 10 pagi tadi (waktu tempatan).

Tambah Anwar, AZEC secara sebulat suara turut meluluskan Kenyataan Bersama AZEC (Leaders Joint Statement) sebagai afirmasi dan kesediaan Negara anggota melaksanakan peralihan tenaga secara tuntas.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Malaysia dengan sendiri, akan terus mengutamakan penyelesaian praktikal yang memacu kemajuan, mengimbangi cita-cita berkaitan iklim, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, Malaysia optimis AZEC akan berfungsi sebagai platform bagi tempoh panjang, menggalakkan kerjasama yang saling memberi manfaat bersama dalam peralihan tenaga, khususnya di rantau itu.

AZEC merupakan platform kerjasama untuk memajukan neutraliti karbon dan peralihan tenaga bagi mencapai sasaran pelepasan sifar.

Antara negara anggota AZEC termasuklah Malaysia, Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI