PETALING JAYA – Seramai 15 pengguna lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (Plus) berpeluang memenangi baucar beli-belah sehingga RM1,000 setiap seorang jika mendaftar dan mematuhi My-TTA.
Ia boleh dilakukan menerusi aplikasi Plus sempena cuti perayaan Krismas dan tahun baharu yang akan datang.
Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, 100 pengguna lebuh raya juga bakal memenangi mata ganjaran PlusMiles bernilai RM50 yang boleh ditebus di hentian rehat dan rawat (R&R) terpilih.
“Pengguna yang bercadang guna Lebuh Raya Utara-Selatan antara 22 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 sempena cuti Krismas dan tahun baharu akan datang, disaran rancang perjalanan dengan pilih serta daftar waktu perjalanan.
“Pengguna yang daftar pilihan perjalanan menerusi My-TTA, akan dapat akses maklumat trafik terkini terus ke telefon bimbit dan terima notifikasi berdasarkan destinasi dan tarikh perjalanan yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, pendekatan itu bertujuan memudahkan orang ramai merancang perjalanan di samping mengagihkan trafik bagi perjalanan lebih lancar dan selesa selain mengelakkan kesesakan.
“Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual cadangan waktu perjalanan (TTA) yang biasa dikeluarkan oleh Plus sejak 2007.
“My-TTA adalah pendekatan digital yang mesra pengguna di mana pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan keluar.
“Pengguna akan dapat lihat paparan keadaan trafik berdasarkan corak perjalanan perayaan musim lalu sekali gus memahami impak tempoh perjalanan berdasarkan waktu dipilih,” jelasnya.
Jelas beliau, program rintis My-TTA telahpun diperkenalkan oleh Plus pada cuti perayaan Deepavali yang lalu dengan sambutan mengalakkan.
“Walaupun baharu diperkenalkan, ia telah menerima sambutan menggalakkan dan catat kadar pematuhan jadual perjalanan sehingga 30 peratus.
“Oleh itu, kami galakkan pengguna supaya guna My-TTA pada perayaan Krismas ini bagi mudahkan Plus perkemas inisiatif ini untuk pelaksanaan pada musim-musim perayaan akan datang,” ujarnya.
Selain pilihan waktu mula memasuki lebuh raya, aplikasi Plus turut menyediakan paparan kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.
Aplikasi Plus juga menyediakan butang kecemasan (SOS) untuk bantuan kecemasan, senarai kemudahan R&R atau hentian sebelah, kalkulator tol untuk memudahkan pengguna mendapatkan maklumat bayaran tol atau berinteraksi dengan Chatbot PUTRI untuk memperoleh pelbagai maklumat mengenai PLUS.
Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android), App Store (bagi pengguna iPhone) atau Huawei AppGallery (bagi pengguna Huawei). – KOSMO! ONLINE