PETALING JAYA – Sisa sayur-sayuran yang dibungkus dan dijual pada harga yang sangat berpatutan sering dianggap sudah rosak tetapi isinya masih elok untuk dimakan.
Menerusi perkongsian Suhasnida Ismail di Facebook, dia tidak berasa malu untuk membeli sayur tersebut kerana padanya ia masih boleh dimasak sebagai hidangan.
“Orang kalau sudah pandai masak beli yang ‘reject’ pun tak kisah, beli yang elok pun belum tentu dimasak,” ujarnya.
Mungkin ada yang memandang rendah dan enggan membeli sayur tersebut kerana dianggap sudah rosak sehingga menurunkan standard pembeli.
Rata-rata ramai yang bersetuju dengan pandangan wanita berkenaan malah ada yang juga mengakui menjadi pembeli sayur-sayuran itu.
“Saya pantang nampak ini, saya mesti singgah tengok. Mana yang elok saya akan beli dan jerukkan,” komen Rosallyna Roselle.
“Saya suka beli sebab menjimatkan poket. Saya selalu beli buah pisang sebab suka buat kek pisang. Kalau guna pisang yang sudah lembik memang akan menjadi,” tambah Nik Hana.
“Tak hina langsung. Malah siapa yang buat macam ini kira dia bijak merancang kewangan,” ujar Zam.
Sehingga kini hantaran tersebut telah mendapat sebanyak 29,000 tanda suka dan 5,100 komen. – KOSMO! ONLINE