ALOR SETAR – Hasil siasatan isu kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak akan didedahkan kepada umum, sebaliknya hanya akan dibentangkan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, laporan siasatan akan digunakan untuk langkah penambahbaikan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
“‘Post morterm’ sudah selesai di peringkat Kementerian Belia dan Sukan pada minggu lepas seperti yang kita janjikan, cuma laporan tersebut akan dibentangkan kepada ahli lembaga pengarah (PSM) dahulu.
“Sekarang sudah penghujung tahun dan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PSM dijadualkan pada awal Januari. Laporan itu akan diteliti seterusnya kita akan ambil langkah penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung hasil siasatan isu padang SNBJ pada Majlis Penyerahan Pusat Latihan Skuasy Kedah bernilai RM10.8 juta, di Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.
Kata beliau, hasil siasatan itu tidak akan didedahkan kepada umum kerana ia melibatkan siasatan dalaman dilakukan pihaknya dengan ia adalah untuk tatapan Ahli Lembaga Pengarah PSM sahaja.
Sebelum ini, padang SNBJ mendapat kritikan orang ramai yang menyifatkan kemudan itu teruk seolah-olah belum bersedia sepenuhnya bagi aksi final Piala Malaysia melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), 8 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE