PETALING JAYA – Kemarahan boleh berlaku atas pelbagai sebab sama ada mudah tersinggung, salah faham dalam komunikasi, atau sesuatu yang mengganggu sehingga membuatkan seseorang gagal mengawal emosi.
Public Health Malaysia (PHM) dalam hantaran di Facebooknya berkongsi antara kesan negatif yang boleh berlaku berpunca daripada sikap baran tersebut adalah risiko kemalangan, tekanan darah meningkat, diserang masalah jantung dan terdedah kepada keruntuhan rumah tangga.
Selain itu, menurut PHM individu yang memiliki sikap baran memberi kesan kepada masalah di tempat kerja, alami kemurungan dan ‘anxiety’ atau mudah diserang gangguan panik.
“Adalah normal untuk seseorang individu menunjukkan emosi marah. Tetapi jika ledakan kemarahan terlalu kerap dan mudah meletus ia dikatakan sebagai baran
“Sikap baran berpunca dari pelbagai faktor, antaranya genetik dan persekitaran, bagaimana seseorang individu dibesakan, masalah mental seperti kemurungan, bipolar, ADHD, pengambilan bahan terlarang dan juga masalah fizikal seperti thyroid, tumour.
“Jika sikap baran anda telah memberi kesan negatif kepada rumahtangga, hubungan di tempat kerja, mengakibatkan kemalangan, pergaduhan, sila dapatkan bantuan dan rawatan,” kata PHM.
Dalam pada itu, PHM turut menyarankan agar individu terlibat untuk sentiasa mengamalkan altiviti fizikal bagi ‘mengasingkan’ tenaga negatif dalam badan.
“Cuba amalkan ‘mindfullnes’ dan aktif dalam aktiviti fizikal untuk mengeluarkan tenaga baran dalam diri,” cadang PHM. – KOSMO! ONLINE