fbpx

Hajat M. Daud Kilau jumpa Zaiton Sameon tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Mohd. Yusof Wafa Syed Nordin (tengah) bersyukur dapat  menyantuni permintaan Allahyarham Datuk M. Daud untuk bertemu penyanyi Zaiton Sameon pada Mac lalu.

PETALING JAYA – Bekas wartawan yang juga promoter persembahan, Syed Mohd. Yusof Wafa Syed Nordin bersyukur dapat  menyantuni permintaan Allahyarham Datuk M. Daud untuk bertemu penyanyi Zaiton Sameon pada Mac lalu.

Katanya, penghibur yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi serta lemah jantung ketika itu masih mampu berjalan dengan bertongkat selain gagah melayan tetamu.

“Sebenarnya Datuk sudah lama menyuarakan hasrat mahu berjumpa Kak Eton (Zaiton) sebab dah lama mereka tak bertemu disebabkan Datuk lama tak memenuhi undangan pentas.

“Dia gembira tengok saya datang bawa kawannya, bahkan kami diminta tinggal di rumah inap miliknya di Sungai Balai, Bagan Datoh, Perak berhadapan kediaman anaknya, Ahmad Zaini.

“Kami bawa udang dan makanan laut segar untuk dibakar beramai-ramai, kiranya malam itu Datuk dengan Kak Eton dapat berborak panjang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Syed Wafa yang membantu menguruskan kerjaya seni Raja Gelek itu secara sambilan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengakui sudah enam kali melawat beliau sepanjang tahun ini.

Menurutnya, hubungan rapat yang terjalin sejak tahun 1996 apabila dia kerap membawa penyanyi terbabit mengadakan persembahan di seluruh negara selain ke negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.

Malah, keakraban mereka sehingga sekarang membuatkan Allahyarham tidak kekok berkongsi cerita atau meluahkan perasaan termasuk terasa hati tidak dikunjungi teman seperjuangan.

“Sebenarnya kali terakhir saya datang ke rumahnya minggu lalu Datuk sudah terbaring disebabkan kedua-dua kakinya sudah nampak mengecut serta tidak mampu lagi memijak.

“Walaupun lemah, dia tetap ingin bercerita hal lalu bahkan sempat menyanyikan beberapa rangkap lagu kegemarannya, Cek Mek Molek.

“Sebelum balik dia menangis minta saya tunggu, selain luahkan rasa sedih sebab kawan-kawan tak datang bertanya khabarnya di kampung,” ujarnya.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Ahmad Zaini, 52, yang memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan pukul 4.46 petang tadi.

Arwah yang dimasukkan ke hospital sejak 12 Disember lalu sepatutnya menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan kuman hari ini, namun keadaan jantungnya tidak mengizinkan prosedur dilakukan.

Sebelum ini, penyanyi berusia 85 tahun itu pernah menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Sejak sakit, M. Daud juga tidak lagi memenuhi undangan pentas apabila tidak boleh berdiri lama selain mengalami kebas kaki, tangan dan sakit pinggang serta kurang daya pendengaran.

Terdahulu, penghibur yang dilahirkan di Bagan Datoh pada 10 Julai 1938 mula dikenali selepas menjuarai Bintang Radio di Singapura pada 1968 mendendangkan lagu Musalmah Manis dan Joget Hitam Manis.

Selepas itu dia ditawarkan menjadi artis rakaman hingga menghasilkan banyak EP dan LP yang memuatkan seleksi bergenre langgam, asli serta dangdut.

Terkenal dengan imej persalinan sarat labuci, penghibur yang lebih lima dekad dalam arena seni suara itu juga mempunyai senarai panjang lagu popular termasuk Gila Judi serta dendangan duet dengan Ezlynn berjudul Pening dirakamkan pada 2003. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI