fbpx

Atasha Nabila pelajar kejuruteraan cipta nama dalam sukan kayak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATASHA NABILA mula aktif berkayak sejak berusia 16 tahun.

BAGI sesetengah orang, kayak mungkin merupakan satu sukan air yang hanya dilakukan bagi mengisi masa terluang.

Namun, tidak bagi Nur Atasha Nabila Saring, 23, yang memilih terlibat secara serius dalam sukan kayak sehingga berjaya mewakili negara.

Pelajar Diploma Kejuruteraan di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di Johor Bahru, Johor itu berkata, dia sendiri tidak menyangka terpilih mewakili negara untuk sukan kayak di Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Kemboja.

“Untuk Sukan SEA ini, saya berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat negara.

“Saya sendiri tidak menyangka bahawa boleh menyumbang pingat untuk negara kerana peserta lain juga amat hebat.

“Perasaan saya apabila dapat menghadiahkan pingat buat negara sudah semestinya begitu gembira.

“Pada mulanya, saya dan rakan-rakan pasukan yang menyertai kategori dragon boat atau perahu panjang tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.

“Kami hanya berhasrat untuk mencatatkan keputusan yang baik,” katanya yang berasal dari Muar.

Sebelum terpilih mewakili negara, Atasha Nabila terlebih dahulu mewakili negeri kelahirannya untuk Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2020.

Ketika Sukma 2020, dia berjaya meraih lapan pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

“Sebenarnya sukan kayak ini mempunyai banyak kategori. Untuk Sukma, saya sertai pelbagai kategori.

“Bagi kategori dragon boat, ia dipecahkan kepada beberapa acara dan begitu juga dalam kategori kayak sprint atau kayak pecut,” jelasnya.

ATASHA NABILA berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 lalu.

Mengulas lanjut tentang penglibatan dalam sukan kayak, gadis yang mesra disapa Atasha Nabila berkata, semuanya bermula secara tidak sengaja.

Pada usia 16 tahun, bapa kepada salah seorang rakannya yang juga jurulatih kayak telah mengajaknya mencuba sukan itu.

Setelah mencuba sukan air tersebut, dia berasa jatuh cinta dengan kayak, sebelum mengambil keputusan untuk melibatkan diri secara serius.

“Sebelum itu, saya terlibat dengan sukan bola jaring, tetapi saya tidak nampak bakat saya dalam sukan itu.

“Apabila mencuba sukan kayak, saya amat meminatinya dan merasakan bakat saya mungkin dalam sukan ini,” terangnya.

Sejak itu, dia terlibat secara serius dengan sukan kayak sehingga boleh mewakili negeri untuk Sukma serta negara pada Sukan SEA.

Malah, dia mewakili politeknik untuk beberapa kejohanan sukan termasuk Sukan Pengajian Tinggi.

Atasha Nabila menjelaskan, pada tahun hadapan, dia bakal menyertai banyak pertandingan kayak.

“Antara pertandingan yang saya akan sertai adalah kayak maraton di Singapura. Dalam pertandingan itu, saya perlu berkayak sejauh 24 kilometer.

“Kayak maraton ini sesuatu yang mencabar kerana ia melibatkan jarak jauh dan faktor angin serta arus memainkan peranan dalam mengganggu kayuhan,” katanya.

Pada masa sama, Atasha Nabila berkata, keluarga memberi sokongan kuat kepadanya untuk terlibat dalam sukan itu.

Katanya, ia membuatnya lebih bersemangat untuk berusaha lebih keras.

Pada awalnya, keluargannya tidak yakin bahawa dia boleh berjaya dalam sukan kayak.

Namun, setelah melihat kejayaan yang diraihnya, mereka mula yakin dan memberi sokongan tanpa jemu kepada Atasha Nabila.

“Selain keluarga, saya juga ingin berterima kasih kepada ketua jurulatih, Mazlan Maeraj dan jurulatih-jurulatih lain serta buat Persatuan Kanu Johor, Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Sukan Politeknik dan Persatuan Kanu Malaysia (Masca).

“Saya juga mempunyai sasaran untuk mendapatkan pingat emas pada Sukan SEA 2025 yang akan diadakan di Thailand nanti bagi mengharumkan nama negara dan keluarga.

“Sebelum itu, saya perlu mencuba yang terbaik untuk sesi pemilihan yang akan dilakukan pada tahun depan,” terangnya.

Ditanya mengenai hal berkaitan pelajarannya, Atasha Nabila memaklumkan, dia kini berada pada semester akhir pengajian.

Menurutnya, bidang kejuruteraan sebenarnya bukan pilihan utamanya.

Sebaliknya, dia berhasrat menyambungkan pengajian dalam bidang sains sukan.

“Bagaimanapun, disebabkan pusat latihan kayak saya terletak berdekatan politeknik ini, jadi saya memilih bidang kejuruteraan.

“Tambahan pula, politeknik ini tidak menawarkan jurusan berkaitan sains sukan.

“Alhamdulillah, apabila saya memilih untuk menyambungkan pengajian di politeknik, banyak kemudahan yang saya dapat.

“Menerusi bidang kejuruteraan, saya juga dapat mempelajari ilmu yang baharu dan menghasilkan projek berkaitan sukan yang saya ceburi,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI