PETALING JAYA – Selebriti popular Neelofa teruja apabila melihat perkembangan anak sulungnya, Bilal yang kian fasih membaca huruf bahasa Arab.
Sebagai ibu, Neelofa, 34, berkata dia sememangnya menitik beratkan pemilihan kandungan buat permata hati dengan memberikan yang terbaik dalam mendidik.
“Sebagai ibu, saya tidak tahu nak cakap bangga macam mana apabila Bilal boleh sebut satu-satu huruf hijaiyah (huruf Arab).
“Kandungan memang saya ambil dan pilih untuk dia tengok. Semasa setahun 10 bulan, masya-Allah dia boleh kira satu hingga 20, boleh kenal huruf kecil dan besar ABC, al-Fatihah, selawat dan alif ba ta serta surah-surah pendek,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Dalam pada itu, isteri kepada pendakwah selebriti, PU Riz mengakui segala penat lelah terbayar apabila melihat perkembangan anak tanpa memberikan telefon bimbit sepenuhnya.
“Tujuan di sini, memang penat mak ayah mahu kawal semua benda tetapi bab ‘screen-time’ dan kandungan apa mereka tengok rasa berbaloi untuk kawal walaupun penat.
“Semoga anak-anak kita sentiasa dalam jagaan, lindungan dan pengawasan Allah SWT,” ujarnya lagi.
Selain Muhammad Bilal, rumah tangga Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor dan PU Riz turut diserikan dengan seorang lagi putera, Abdullah Abbas yang lahir pada 11 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE