fbpx

Wings buat 9,000 penonton menangis!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VOKALIS Wings, Awie mencetuskan rasa syahdu sebaik mendendangkan lagu Allah Allah Aghisna pada konsert malam tadi. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Air mata sebahagian daripada 9,000 penonton Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter menitis ketika lagu selawat, Allah Allah Aghisna diperdengarkan kumpulan Wings dalam segmen khas buat Palestin di Stadium Malawati, malam tadi.

Dendangan asal penghibur Indonesia Nazwa Maulidia itu mencetuskan rasa syahdu sebaik vokalis band ikonik terbabit, Datuk Awie atau Ahmad Azhar Othman menyampaikannya dengan sepenuh hati.

Malah paparan video situasi genting di Gaza serta keadaan rakyat Palestin berdepan serangan Israel yang melatari persembahan diakhiri doa memohon pertolongan dibacakan Awie sendiri menggandakan lagi perasaan sayu.

“Dalam kita suka, ada yang sedang berperang. Izinkan kami menghadiahkan lagu ini untuk pejuang di Gaza dan sama-sama kita doakan mereka,” katanya.

Selain menunjukkan sokongan untuk Palestin, konsert mega pertama anjuran syarikatnya sendiri iaitu Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment itu turut dibahagikan kepada beberapa segmen sepanjang persembahan mega berdurasi hampir tiga jam itu berlangsung.

Awie, 57, lincah menguasai pentas dalam konsert bertemakan teaterikal yang menunjukkan aksi cemerlangnya memenuhi permintaan peminat iaitu Sayap Sayap Wings bersama rakan seperjuangan, Eddie, Black, Syam dan Edrie Hashim.

WINGS berjaya menakhluk jiwa 9,000 pencinta muzik mereka pada konsert malam tadi. Foto oleh AFIQ RAZALI

Dimulakan dengan lagu daripada album Menakluk Kosmos iaitu Adony Dari Paran, Kompilasi Pramayar dan Ingatkan Dia, momentum persembahan diteruskan bersama pemilihan 27 seleksi hits lain termasuk Jerangkap Samar, Bernafas Dalam Lumpur dan Nurnilam Sari.

Selain segmen penghargaan kepada komposer JS Kevin, band rock legenda yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 pada 2025 turut membawakan lagu popular idola mereka seperti Holiday (Scorpion), Run For Your Life (The Beatles), Black Night (Deep Purple) dan Nobody’s Fool (Cinderella).

Sebelum berlalu, mereka enggan menghampakan penonton apabila menunaikan kehendak ramai yang ingin mendengar lagu wajib Sejati sebagai penutup persembahan.

Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura, Julai lalu.

Malah band yang mencipta sejarah peribadi malam tadi apabila stadium ‘full house’ sehingga penganjur menambah tempat duduk paling mahal memaklumkan merancang membawa konsert ini ke Pulau Pinang serta Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI