fbpx

Warung tetap diserbu walau air paras betis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Engku HASMAH (kiri) melayan pelanggan yang mengunjungi kedai runcitnya yang dinaiki air di Kampung Nibung, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seorang peniaga tetap menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun kedai runcit dan warung makannya ditenggelami banjir di Kampung Nibong di sini semalam.

Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, berkata, kedai runcit dan warung makannya yang terletak bersebelahan ditenggelami air sedalam kira-kira 0.2 meter sejak Khamis lalu.

“Begitupun saya memutuskan kedai runcit yang diusahakan bersama suami, Kamaruzaman Othman, 43, terus dibuka dari pukul 6 pagi hingga 11 malam.

“Warung pula masih bero­perasi pada waktu pagi bagi memudahkan penduduk yang terjejas banjir bersarapan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, tindakan membuka kedai runcit dan warung makan sewaktu bah telah menjadi tradisi keluarga sejak kedai runcit tersebut diusahakan neneknya puluhan tahun lalu.

“Ia bagi membantu penduduk terus mendapat barang keperluan sewaktu akses keluar masuk perkampungan sudah terputus akibat banjir.

“Kampung kami yang terletak berhampiran Sungai Telemong, di sini terkepung bagaikan pulau ekoran jalan-jalan utama tidak boleh dilalui kerana ditenggelami banjir.

“Kedai runcit dan warung saya ini antara premis perniagaan yang masih ada bagi penduduk membeli barang keperluan dan makanan pada musim banjir ini,” katanya.

Engku Hasmah berkata, jiran-jirannya masih boleh menghantar kuih-muih untuk jualan di warungnya pada masa ini.

Ujar Engku Hasmah, biasanya banjir yang memasuki kedai runcit dan warung makannya akan surut dalam tempoh selewat-lewatnya empat hari.

“Urus niaga diteruskan bukan sahaja untuk membantu penduduk, malah menghabiskan sebanyak mungkin stok jualan kami sekali gus mengurangkan risiko kerugian jika banjir bertambah buruk.

“Saya hanya akan menutup kedai runcit dan warungnya sekiranya paras air naik mendadak sehingga melebihi satu meter demi keselamatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI