MELAKA – Baja tinja ayam tidak akan mengeluarkan bau busuk dan menyebabkan kelecuran apabila bersentuhan dengan tanaman sekiranya ia diproses menggunakan teknologi Rapid Thermophilic Aerobic Digestion Technology (RTADT).
Pengasas baja organik Milagro, Mat Jantan berkata, sehingga kini syarikat itu berjaya menghasilkan produk berasaskan tinja ayam sebagai baja organik Milagro premium menggunakan teknologi tersebut.
Ujarnya, teknologi RTADT dapat memastikan patogen berbahaya yang terdapat di dalam baja seperti Salmonella Typhi, Pseudomonas Aeruginosa, E.Coli dan Faecal Coliforms dihapuskan.
“Kami menggunakan tinja ayam penelur sebagai salah satu bahan utama dalam penghasilan baja organik, namun diproses bersama beberapa bahan mentah utama lain menggunakan teknologi tinggi.
“Tinja ayam ini tidak akan mengeluarkan bau busuk sekiranya diproses menggunakan teknologi tinggi. Kerana itu Malaysia perlu menerokai bidang ini agar tidak memberi kesan kepada komuniti setempat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Pokok Mangga di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya juga memberi jaminan baja tinja yang diproses dengan kaedah betul adalah selamat untuk digunakan.
“Isu ini perlu dipandang secara teliti dan serius, saya tegaskan bahawa baja yang diproses sempurna tidak akan memberi impak negatif,” ujarnya.
Rabu lalu media melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak menggalakkan penggunaan baja tinja ayam walaupun tiada sebarang peruntukan undang-undang menghalang penggunaannya secara meluas dalam sektor pertanian.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, baja itu menyebabkan ketidakselesaan kepada orang ramai kerana berbau busuk dan berpotensi menyebabkan kelecuran sekiranya bersentuhan dengan tanaman. – KOSMO! ONLINE