PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, penyanyi Sufian Suhaimi membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri beberapa jam sebelum berlangsungnya Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM), hari ini.
Tanpa menjelaskan lebih lanjut tindakan tersebut, Sufian, 31, yang sepatutnya membawakan lagu Budi itu hanya menzahirkan penghargaan terhadap sokongan peminat.
“Assalamualaikum. Berat hati saya ingin memaklumkan lagu Budi tidak akan bertanding di Separuh Akhir Muzik-Muzik kali ini.
“Terima kasih buat semua yang mengundi dan memberikan sokongan buat lagu Budi,” katanya menerusi perkongsian Instagram hari ini.
Percubaan Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Sufian tidak berhasil apabila dia tidak menjawab panggilan telefon mahupun pesanan ringkas WhatsApp.
Sementara itu, pelantun lagu Terasa Ada itu tidak ketinggalan menitipkan pesanan buat rakan-rakan seperjuangan lain.
“Tahniah dan selamat maju jaya buat rakan-rakan yang bertanding,” tulisnya lagi.
Lagu Budi yang sepatutnya dipertandingkan hari ini merupakan single nyanyian Sufian bersama-sama Luca Sickta dan Kmy Kmo.
Selain Budi, ada enam lagu lagi yang bakal bertanding di studio NTV7 Glenmarie petang ini iaitu Santai, Berubah, Selagi Ku Ada, Bintang, Darah, Aku, Hati Dan Perasaan, Di Sebalik Rahsia dan Dua Darjat. -KOSMO! ONLINE