fbpx

Siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan masuk hari ke-11

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota forensik tiba bagi meneruskan siasatan pembunuhan Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Polis masih meneruskan siasatan di lokasi kediaman kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 9.30 pagi dipercayai bagi mengesan bukti baharu sebelum ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari.

Difahamkan, usaha mengesan bukti tersebut akan bersambung semula pada pukul 3 petang ini yang mana turut membabitkan pasukan Unit Forensik.

Meskipun sudah memasuki hari ke-11 anggota polis melakukan siasatan, tumpuan dilihat masih terarah pada Blok R yang mana lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Semalam Kosmo! melaporkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, proses mengesan bukti masih giat dijalankan khususnya di kawasan blok kediaman mangsa.

Menurut beliau, setakat ini tiada perkembangan siasatan dapat dikongsikan bersama media bagaimanapun usaha pencarian barang bukti di tempat kejadian diteruskan.

Tambah Hussein, sebanyak 172 individu sudah dirakam keterangan yang mana membabitkan ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk sekitar.

Terdahulu, Hussein mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Justeru itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana ada unsur jenayah.

Pada 6 Disember, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI