PETALING JAYA – Pelakon Diana Danielle enggan ambil pusing komen netizen mengenai bentuk badannya yang kian berisi berikutan pertambahan berat badan.
Bagi pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 31, dia memahami punca kewujudan komen-komen sebegitu kerana netizen hanya melihat daripada luaran sahaja.
“Itulah bayaran yang perlu diterima menjadi individu dikenali. Orang hanya nampak perubahan badan kita sahaja dan mungkin mereka tiada niat pun nak ‘body shaming’.
“Itu hanya pendapat apabila melihat bentuk fizikal kita yang berubah. Kalau semua benda nak sentap susahlah,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Pelakon filem Imaginur itu bagaimanapun tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya komen yang ditinggalkan agak melampau
Namun, sekiranya komen hanya sekadar ingin bertanya dan bergurau, dia akan membalas secara sinikal.
“Selagi mereka tak guna ayat yang pedas, tak menjatuhkan kita, saya okey tetapi jika sebaliknya, boleh saman!
“Itu boleh ambil tindakan tapi yang komen orang suka cuit-cuit, kalau balas dengan kata-kata memerli pun sudah cukup,” ujarnya.
Sejak dua bulan lalu, bentuk badan Diana mula menjadi tumpuan ramai kerana semakin berisi.
Perkara itu membuatkan ramai mendakwa isteri kepada pelakon Farid Kamil itu sedang berbadan dua selepas kembali rujuk dengan suaminya sekitar Ogos lalu.
Kata Diana, berat badannya bertambah sebanyak 10 kilogram (kg) apabila selera makan meningkat sejak beberapa bulan lalu.
Diana juga pernah berkongsi tentang Farid yang turut melalui fasa pertambahan berat badan sehingga mencecah 90kg. – KOSMO! ONLINE