SUNGAI PETANI – Seorang pesara guru wanita meninggal dunia ketika menunaikan solat asar di surau sebuah hotel di sini, pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Latifah Yusof, 65, dikatakan rebah ketika solat sebelum tidak sedarkan diri.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan hotel memaklumkan kejadian itu dan bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.
Katanya, mangsa yang berasal dari Perak pergi ke hotel tersebut bersama suaminya untuk menghadiri majlis makan amal yang bermula antara dari pukul 3 petang hingga 6.30 petang.
“Pasangan suami isteri terbabit tiba di hotel berkenaan pada waktu asar dan terus ke surau yang terletak di tingkat dua untuk menunaikan solat.
“Mangsa dikatakan rebah ketika solat di ruang wanita dan kejadian itu dilihat oleh jemaah perempuan lain sebelum menjerit kerana terkejut menyebabkan suami mangsa bergegas ke situ dan mendapati isterinya tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.
Anuar berkata, pihak hotel kemudian menghubungi ambulans dan pemeriksaan lanjut oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati wanita itu telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE