fbpx

Penduduk Kampung Tok Kah terkepung banjir lumpur dibantu ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota pasukan 18 RAMD membantu membersihkan rumah penduduk terjejas banjir di Kampung Tok Kah, Dungun, hari ini.

DUNGUN – Respon pantas pasukan Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) (Para) membantu mangsa banjir mendapat penghargaan penduduk Kampung Tok Kah, di sini.

Seorang penduduk, Anuar Kadir, 48, berkata, pasukan 18 RAMD merupakan antara responden paling awal tiba menghulur bantuan sebaik perkampungan tersebut dilanda banjir pada awal pagi semalam.

“Kami yang panik mengambil keputusan menghubungi 18 RAMD berikutan terkepung dalam bencana banjir yang berlaku pada awal pagi sebab sukar untuk kami berpindah dalam keadaan agak gelap pada masa itu.

“Mujur pasukan keselamatan itu pantas memberikan bantuan menerusi Ops Murni dan kami dibawa keluar untuk berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan menaiki trak tentera,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, anggota tentera juga ‘ringan tulang’ membantu membersihkan rumah penduduk setelah banjir lumpur yang melanda semakin surut hari ini.

Sementara itu, Ketua Kompeni Batalion Kelapan Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) Mejar Mohd Amir Mohd Alid berkata, sebelum musim tengkujuh lagi, pihaknya sudah menjalin hubungan baik dengan penduduk setempat bagi memudahkan operasi penyelamatan.

“Mereka boleh menghubungi kami pada bila-bila masa sekiranya memerlukan bantuan segera dan kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pejabat Tanah dan Daerah Dungun melakukan penilaian awal tentang kawasan berisiko banjir dan pemantauan paras air sungai berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI