PETALING JAYA – Satu klip video yang tular di media sosial ketika ini menunjukkan beberapa pendatang asing yang difahamkan berada di Malaysia menjelaskan, mereka mudah untuk mendapatakan minyak masak serta gula di negara ini.
Klip video tersebut yang didakwa dilakukan oleh beberapa pendatang asing dari Pakistan antara lain menunjukkan beberapa peket gula, minyak masak serta beberapa lagi barang keperluan yang telah dibeli oleh mereka.
Dengan menggunakan dialek mereka, difahamkan apa yang dituturkan oleh salah seorang daripada pendatang terbabit adalah begitu mudah untuk dapatkan barang keperluan di Malaysia.
Katanya lagi, hanya dengan membayar penguat kuasa, barang-barang keperluan itu tadi cukup mudah untuk diperolehi.
Rata-rata pengguna media sosial turut menyeru agar pihak berkuasa memantau perkara tersebut kerana warganegara Malaysia ketika ini cukup sukar bagi mendapatkan barang-barang keperluan harian.
“Penguat kuasa, tolong lah tengok adab mereka ini. Cukuplah bagi muka. Mereka ni langsung tidak bersyukur tinggal di sini, malah mereka memerli kita lagi.
“Tolonglah buat sesuatu, jangan sudah menjadi barah baru kita sedar,” kata Irfan Noor.
“Aku pun dah tak tahu la apa nak cakap dengan orang atas Malaysia ni. Sampai begini sekali kita diperli mereka, masih lagi bagi muka kepada jenis manusia macam ni sedangkan rakyat kita yang bayar cukai mereka yang dapat untung,” kata Fakhri Nzim. – KOSMO! ONLINE.