KOTA BHARU – Selepas menutup tirai Liga Super dengan kemenangan 6-2 ke atas Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, tumpuan kini beralih kepada masa depan pemain dan barisan jurulatih serta perancangan Kelantan United untuk musim 2024/2025.
Pemangku jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor memaklumkan kontrak semua pemain dan jurulatih Sang Kijang Hijau akan tamat pada 31 Disember nanti dan beliau telah menasihatkan semua pemain agar menyambar mana-mana peluang yang hadir.
“Saya beritahu pemain kalau ada dapat tawaran, jangan tunggu dan pergi ‘sign’ kerana ini melibatkan masa depan mereka. Kita tidak boleh menunggu sesuatu yang tidak nyata.
“Jadi sekiranya pemain-pemain sudah mendapt tawaran daripada mana-mana kelab, saya persilakan malah galakkan mereka untuk merebut peluang itu,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Sementara itu, Nazrulerwan yang juga pengendali sementara Sang Kijang Hijau memberitahu, setakat ini belum ada sebarang perbincangan berlangsung bersama pihak pengurusan kelab mengenai perancangan serta persediaan untuk musim depan.
“Untuk perancangan musim depan saya belum dapat sebarang maklumat daripada pihak pengurusan. Tunggulah dalam seminggu atau dua minggu lagi. Sekiranya pihak pengurusan panggil kita akan berbincang.
“Bagaimanapun jika tiada sebarang panggilan daripada pihak pengurusan kelab dalam tempoh masa tersebut, saya juga mungkin akan angkat kaki dan cari pasukan lain,” katanya.
Mengulas perlawanan aksi semalam, beliau menjelaskan The Green Deers sudah merancang untuk bermula dengan barisan pemain muda selepas menilai pasukan lawan yang dibarisi pemain muda dan mempunyai kelajuan.
“Saya faham pada separuh masa pertama kita tidak bermain seperti biasa dan lebih banyak beri peluang kepada pemain Kelantan FC bermain bola sepak. Di bilik persalinan saya beritahu mereka kita tidak boleh meneruskan rentak permainan sebegitu.
“Pertukaran tiga pemain sekali gus dengan memasukkan beberapa pemain utama pada awal separuh masa kedua adalah titik tolak perubahan corak permainan Kelantan United sehingga berjaya menjaringkan lima gol,” kata Nazrulerwan. – KOSMO! ONLINE