fbpx

Pegawai polis langgar remaja didakwa kes bunuh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Zaharif Affendi maut dilanggar kereta jenis Perodua Ativa, Jumaat lalu.

PETALING JAYA – Pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar tingkatan lima akan dituduh di bawah Seksyen 302, di Mahkamah Majistret Ipoh, esok.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek langgar pelajar dalam kejadian yang berlaku di Ipoh, Jumaat lalu.

Menurutnya, ia diputuskan selepas pihaknya membuat penelitian terhadap hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan.

“Jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada 18 Disember 2023 (esok).

“Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini tadi.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan itu sebagai merujuk kepada kes kemalangan jalan raya yang berlaku Jumaat lalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, Perak.

Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa yang berusia 17 tahun hingga menyebabkan kematian.

Susulan itu, keluarga mangsa yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI