PETALING JAYA – Penduduk di kawasan Bukit Sentosa, Rawang menggesa pihak berwajib untuk segera membaik pulih beberapa lubang besar yang ada di jalan raya di kawasan tersebut agar perkara tidak diingini dapat dielakkan.
Melalui satu hantaran di Facebook komuniti penduduk Bukit Sentosa hari ini, satu kemalangan melibatkan dua adik-beradik telah berlaku akibat daripada lubang yang ada di jalan raya di kawasan tersebut.
Jelas seorang penduduk yang menggunakan akaun Md. Rizwan, kejadian di hadapan sebuah restoran terkenal itu merupakan kejadian kerap dan sama berlaku di situ, selama ini.
“Akan ada lagi dan lagi berterusan disebabkan lubang yang bersepah-sepah di atas jalan, semoga dipermudahkan urusan kedua-dua adik ni. Teruk juga cedera dia.
“Kejadian berlaku di hadapan restoran Rahim Bukit Sentosa, terima kasih anggota polis yang turut membantu,” jelas hantaran tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk mendakwa, selama 25 tahun menetap di situ, pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya dilihat mencabut pokok di sepanjang jalan terlibat dan diganti dengan pokok baharu.
“Selama 25 tahun saya duduk di sini cuma nampak PBT asyik cabut pokok di penghalang jalan dan tanam pokok baru. Cabut balik tanam balik kononya nak cantikkan jalan raya tapi bab keselamatan dia tutup mata.
“Ramai kakitangan PBT tinggal di sini takkan tak nampak jalan berlubang di situ?,” soalnya. – KOSMO! ONLINE.