PENGENDALI sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpendapat pasukan itu perlu melakukan rombakan sekiranya mahu bersaing dengan kelab besar lain dalam saingan Liga Super atau sekurangnya berada dalam kelompok enam pasukan terbaik.
Menjadikan perlawanan menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai penanda aras, Akmal melihat terdapat jurang perbezaan kualiti antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan skuada Harimau Kumbang itu dibelasah 0-8 pada perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Bekas penyerang skuad kebangsaan berusia 41 tahun itu berkata, kekalahan itu dianggap satu pengajaran berguna untuk pemain dan dirinya agar perlu mempersiapkan pasukan yang lebih bersedia untuk menghadapi mana-mana pasukan bersar di saingan liga.
“Ketika ini pihak pengurusan Penang FC belum buat keputusan sama ada saya kekal atau ada jurulatih lain akan amik alih tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi jika ada rezeki dan kepercayaan diberikan kepada saya, saya pasti akan melakukan banyak perubahan dan memperbaiki kelemahan di bahagian tertentu.
“Saya bertekad akan mengubah bola sepak Penang FC sekiranya diberikan tanggungjawab menerajui pasukan untuk musim depan menjadi pasukan yang jauh lebih baik daripada apa yang dihadapi dalam tiga musim kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, dalam tiga perlawanan terakhir ini, kita berjaya mengutip empat mata dan pada perlawanan ini semua pihak pengurusan dapat lihat sendiri banyak yang perlu kita lakukan untuk menyediakan pasukan di musim depan jika kita mahu tergolong dalam kelompok empat atau enam pasukan terbaik,” katanya.
Penang FC menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan mengumpul 24 mata setelah merekod enam kemenangan, enam seri dan 14 kekalahan daripada 26 perlawanan. – KOSMO! ONLINE