KUALA TERENGGANU – Masalah teknikal punca siren amaran banjir di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong di Hulu Terengganu gagal berfungsi sewaktu perkampungan itu dilanda banjir pada Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, pemeriksaan mendapati salah satu komponen peralatan tersebut mengalami kerosakan luar jangka.
“Unit Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang melakukan pemeriksaan semalam mendapat siren amaran banjir gagal berbunyi disebabkan masalah salah satu komponennya.
“Tindakan penggantian segera telah diambil dan peralatan itu kini sudah berfungsi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan penduduk PPSK Felcra Gunung Menerong mendakwa sistem amaran banjir yang dipasang di Sungai Berang berhampiran gagal berfungsi sewaktu perkampungan mereka mula ditenggelami banjir pada Khamis lalu.
Ia menyebabkan sebahagian besar penduduk yang sedang nyenyak tidur kelam-kabut dan gagal membuat persiapan awal untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu air sungai mula melimpah pada pukul 5 pagi. – KOSMO! ONLINE