SERDANG – Kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan runtuh berdekatan Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, dekat sini dan proses menanam cerucuk besi dijangka mengambil masa dua minggu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, kerja-kerja tersebut telah bermula kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Beliau berkata, kira-kira 375 cerucuk besi akan ditanam untuk bagi memastikan kawasan runtuhan kembali stabil supaya tiada pergerakan tanah lagi.
“Mengikut kontraktor (yang dilantik Majlis Bandaraya Subang Jaya) kerja-kerja menanam cerucuk besi) akan melibatkan kawasan sepanjang 150 meter persegi menggunakan 375 besi cerucuk untuk menghadkan pergerakan tanah. Ia dijangka mengambil masa dua minggu.
“Jadi tindakan lain akan diambil oleh beberapa agensi berkaitan seperti Air Selangor telah pun menutup bekalan air kerana paip bawah tanah didapati telah pecah,”katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, setakat ini kejadian tersebut melibatkan sembilan buah rumah dan empat buah kereta.
Ujar beliau, selain proses menanam cerucuk, kawasan runtuhan juga akan ditutup dengan kanvas bagi mengelakkan kawasan runtuhan dimasuki air bagi mengelak pergerakan tanah.
“Ketika ini semua penghuni yang terlibat telah diarahkan keluar dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS). Bagaimanapun hanya sebuah keluarga seramai lapan orang tinggal di PPS tersebut.
“Baki yang lain kini berada di rumah keluarga dan saudara mara berdekatan. Kita juga akan mengadakan kawalan keselamatan 24 jam di kawasan runtuhan sehingga kerja-kerja pembaikan selesai,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE