fbpx

‘Kementerian dipecahkan bukan sebab saya lemah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan berikutan pihaknya gagal melaksanakan tugas.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dipecahkan berikutan pihaknya gagal melaksanakan tugas.

Fahmi berkata, kementerian tersebut dipecahkan kerana terdapat keperluan untuk memberi fokus kepada perkembangan ekonomi digital yang berkembang pesat.

Katanya, satu perbincangan telah diadakan bersama pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pandangan mengenai perkara tersebut disampaikan sendiri oleh pihaknya sebelum rombakan Kabinet diadakan.

“Ada beberapa pihak menuduh Fahmi Fadzil gagal untuk laksanakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digitial, maka dipecahkan demi menyelamatkan nyawa politik saya, ini tidak betul.

“Kalau kita lihat dari segi agihan agensi pada waktu ini, daripada lebih kurang 11 atau 12 agensi di bawah kementerian, yang kekal dengan Kementerian Komunikasi ini dalam lapan agensi manakala satu agensi luar telah dimasukkan menjadikan ada sembilan agensi termasuk Jabatan Komunikasi (J-KOM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program R.E.N.E.W: Reuse, Educate, Nurture, and Empower with Waste kerjasama iCEPS UiTM di Dataran Sri Angkasa Jaya, di sini hari ini.

Fahmi berkata,terdapat beberapa aspek di dalam ekonomi digital yang merentasi empat kementerian.

“Dari segi ‘start up’ termasuk ‘capital’, itu berada dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) . Dari segi ‘skill up’, mewujudkan kilang-kilang dan sebagainya itu di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam KKD ketika itu.

“Dari segi pelaburan, ia diusahakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala di segi pelaporan MyDigital Corp berada di bawah Kementerian Ekonomi,” jelasnya.

Susulan itu jelasnya, terdapat pihak industri yang menyatakan kegusaran mereka apabia terdapat empat kementerian yang berbeza yang mengusahakan isu sama.

“Maka, saya sampaikan pandangan kepada pasukan Perdana Menteri mengapa tidak dikumpulkan semua agensi-agensi ini diletakkan bawah satu kementerian yang khusus kerana bila kita teliti dokumen New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 menyatakan ekonomi digital menjadi salah satu tiang seri utama pertubuhan ekonomi negara kita.

“Jadi, usaha itu perlu dikukuhkan dan diselaraskan dari segi dasar secara dalaman. Sebab itu Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Ke-Empat (4IR) pada Jumaat lepas, Menteri Digital, Gobind Singh Deo telah menyampaikan pandangan tentang keperluan untuk diselaraskan bukan sahaja mengenai majlis tetapi dalam Kementerian Digital itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri kerajaan ketika ini masih jauh lebih rendah berbanding kerajaan terdahulu.

“Yang penting, jumlah Menteri dan Timbalan Menteri di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim masih jauh lebih rendah berbanding dengan kerajaan-kerajaan terdahulu dan masih tidak dilantik mana-mana Duta bertaraf Menteri ke mana-mana wilayah ataupun zon di luar negara seperti yang pernah dilakukan dulu.

“Dilantik dengan gaji, elaun berpuluh ribu tetapi tiada hasil langsung pada waktu itu. Jadi, Alhamdulillah beberapa perkara jauh lebih baik sekarang berbanding dahulu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI