IPOH – Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut Jumaat lalu mahu kejadian yang menimpa pelajar tingkatan lima itu disiasat dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bapa pelajar tersebut, Muhd. Zamrie Zainal Abidin, berkata, tiada manusia yang sengaja melanggar dan jika seseorang itu sengaja bermakna membunuh.
“Ya saya memang minta Seksyen 302. Saya hendak ketelusan,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Chepor Sentosa, Chemor di sini hari ini.
Muhammad Zaharif Affendi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini maut dipercayai dilanggar kenderaan dipandu pegawai kanan polis pada Jumaat lalu di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini.
Difahamkan, sebelum nahas itu berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Muhd Zamrie berkata lagi, beliau juga telah melantik peguam untuk memperjuangkan nasib anaknya agar mendapat keadilan dan tidak ada sebarang cubaan berselindung.
Pada masa sama, Nur Zawanie, 28, kakak mangsa berkata, keluarganya menuntut Seksyen 302 untuk pembelaan adiknya selain mendakwa pelaku tenang, bukan seperti seseorang yang akan berasa panik jika tidak sengaja membuat kesalahan.
Keluarga itu memohon saksi di tempat kejadian termasuk yang mempunyai rakaman video untuk tampil berkongsi bahan bukti. – KOSMO! ONLINE