PETALING JAYA – Jenazah penyanyi 1980-an, Allahyarham Ibnor Riza dijangka dikebumikan di Batu Kikir, Negeri Sembilan malam ini.
Menurut isterinya, Sarimah Sulaiman, 51,jenazah suaminya akan dimandi dan dikafankan di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras sebelum di bawa pulang ke Negeri Sembilan.
“Jenazah arwah suami akan dimandi dan disembahyangkan di HCTM.
“Kemudian, kami akan bawa jenazah untuk dikebumikan di Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun dia berkata perancangan tersebut bergantung kepada urusan di hospital.
“Jika tiada masalah, keluarga mahu jenazah dibawa pulang secepat mungkin ke Negeri Sembilan dan dikebumikan malam ini,” ujarnya.
Terdahulu, Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, menghembuskan nafas terakhir di HCTM pada pukul 3.30 petang tadi.
Terdahulu, pada 2 Disember lalu, Ibnor menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke bahagian otak.
Ibnor bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.
Kemudian, dia sekali lagi menjalani pembedahan susulan terdapat pendarahan pada bahagian kepalanya pada Rabu lalu.
Keadaan Ibnor juga masih sama malah Sarimah ketika dihubungi memaklumkan suaminya berada dalam keadaan kritikal.
Sebagai info, Ibnor mulakan kejaya seninya sejak 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM.
Allahyarham juga merupakan seorang kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan kerjaya seninya pada 1993.
Antara lagu yang terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Suka Terluka Merindu Pula dan banyak lagi.- HIBGLAM