PETALING JAYA – “Terima kasih baba. Ini kali pertama baba datang majlis Zaki setelah 17 tahun.”
Demikian ucapan penyanyi, Zaki Yamani yang menzahirkan rasa gembira apabila bapanya yang juga Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah datang ke majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-17, baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Zaki atau nama lengkapnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah turut berkongsi sebuah video menunjukkan bapanya sedang mendendangkan sebuah lagu di majlis hari jadinya yang berlangsung di sebuah restoran.
Zaki yang berada di sebelah bapanya sewaktu penyanyi tersohor itu sedang membuat persembahan kelihatan sangat teruja.
Perkongsian penyanyi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini itu memancing emosi peminatnya yang turut sama terharu dan gembira dengan kehadiran Jamal ke majlis tersebut.
Malah, rata-rata peminat mendoakan agar hubungan kedua-dua beranak itu sentiasa baik dan gembira.
“Kasih ayah sepanjang masa tidak akan pernah putus walaupun selama 17 tahun. Reda ibu ayah serta Allah SWT, maka Allah pun reda dengan kita sebagai anak,” ujar seorang pengguna Instagram.
“Tidak akan putus walaupun sejauh mana. Saya doakan yang terbaik untuk Zaki,” kata seorang lagi pengikutnya.
“Ayat Zaki sungguh menyentuh perasaan. Insya-Allah moga ikatan kasih sayang seorang ayah dengan anaknya bertambah baik,” kata seorang netizen.
Terdahulu, kontroversi tercetus apabila Zaki pernah meluahkan rasa rindu selepas enam tahun tidak berpeluang beraya bersama bapanya pada tahun lalu.
Jamal kemudian mendakwa dia dihalang bertemu dengan anaknya itu selepas bercerai dengan bekas isteri, Fatimatuzahra Samad.
Bagaimanapun, Jamal dalam satu temu bual bersama media menafikan dirinya menjadi punca hubungan dengan anak keduanya itu renggang.
Walaupun tidak tinggal bersama, Jamal berkata, dia melayan anak-anaknyasama rata dan tidak pernah membeza-bezakan kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka.
Selain Zaki, Jamal juga memiliki seorang lagi anak, hasil perkahwinan pertama, Osami Yamani, 21 yang turut mewarisi bakat nyanyiannya. – KOSMO! ONLINE