PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menamakan Pemain Paling Bernilai (MVP) Harimau Malaya, Arif Aiman sebagai lima pemain yang perlu disaksikan bagi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari nanti.
Menurut laman sukan UFootball, penyerang JDT itu diletak sebaris dengan empat lagi pemain terbaik Asia termasuk penyerang muda dari Jepun, Junya Ito dan pemain dari Korea Selatan, Cho Gue Sung.
Dua lagi pemain lain adalah dari Australia, Harry Souttar yang turut beraksi bersama kelab Inggeris, Leicester City dan pemain dari Arab Saudi, Harib Abdalla.
Tiga pemain tersebut iaitu Ito, Gue Sung dan Souttar adalah antara pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia, sebelum ini.
“Malaysia kini menjadi satu kuasa baru yang stabil di rantau Asia Tenggara. Harimau Malaya hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan sebelum ketibaan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, tetapi mereka kemudian memenangi 18 daripada 27 perlawanan terakhir,” kata FIFA melalui satu kenyataan, semalam. – KOSMO! ONLINE.