MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag percaya para pemainnya tidak gentar dan diburu oleh kekalahan 0-7 kepada Liverpool di Anfield Mac lalu ketika mereka akan kembali ke sana tengah malam ini.
Perlawanan kali ini menyaksikan United turun dengan kekecewaan selepas tewas berturut-turut kepada Bournemouth dan Bayern Munich menyebabkan mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara serta tidak layak beraksi di Liga Europa.
“Saya tidak melihat bahawa kami takut, sejak musim lepas lagi. Ia mungkin pengalaman yang buruk, namun ia tidak akan selalu berlaku kerana kami akan bermula dengan 0-0. Musim lalu kami beraksi baik pada babak pertama, cuma segalanya berubah di separuh masa kedua.
“Ia tidak akan terjadi lagi, musim lalu pasukan berbeza dan pemain berbeza. Kami tidak mahu bercakap besar, tetapi kami yakin untuk turun menghadapi perlawanan ini. Kami membuat persediaan untuk menang.
“Musim lepas sudah berlalu. Apa yang kami boleh lakukan adalah mengubah masa depan. Liverpool bermain dengan baik, itu tidak dinafikan dan kami berdepan kesukaran pada perlawanan lalu.
“Saya fikir pemain mampu menguruskan suasana dengan baik. Kami semua bermotivasi untuk ke Anfield walaupun sedar tugas sukar menanti. Ini adalah cabaran yang semua pemain bola sepak hebat inginkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ten Hag berdepan tekanan paling hebat dalam kariernya apabila memerlukan kemenangan ke atas Liverpool tengah malam ini ketika beliau kehilangan 13 pemain utama.
Dua pemain baharu yang memasuki senarai perlu menerima rawatan adalah pemain pertahanan, Harry Maguire dan Luke Shaw yang mengalami kecederaan ketika menentang Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Maguire mengalami kecederaan pangkal paha dan terpaksa dikeluarkan, manakala Shaw dilihat beberapa kali bercakap dengan pegawai perubatan pasukan sambil memegang bahagian hamstringnya.
Sebelum ini, United telah kehilangan khidmat Tyrell Malacia, Casemiro, Lisandro Martinez, Christian Eriksen, Mason Mount, Victor Lindelof and Amad Diallo yang cedera, sementara Marcus Rashford dan Anthony Martial mengalami demam ketika bertemu Bayern.
Sementara itu, Bruno Fernandes pula berdepan penggantungan untuk aksi di Anfield dan Jadon Sancho masih tidak dibenarkan untuk beraksi ekoran perbalahannya dengan Ten Hag. – AGENSI