fbpx

Cukai 10 peratus tidak libatkan produk tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi hadir pada program R.E.N.E.W: Reuse, Educate, Nurture, and Empower with Waste di Dataran Sri Angkasa Jaya. -Foto M FIRDAUS M JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Jan 2024 depan tidak melibatkan produk tempatan.

Beliau berkata, cukai yang dikenakan itu antara lain bagi meningkatkan daya saing produk-produk tempatan dan tidak akan memberi kesan kepada produk dalam negara yang dibeli secara dalam talian.

“Saya telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan juga Kementerian Kewangan apabila hangat diperkatakan di media sosial semalam mengenai cukai tersebut dan dilihat ada salah faham mengenai perkara itu.

“Penting untuk dijelaskan ia hanya terpakai untuk produk yang diimport dari luar negara yang dijual secara dalam talian di Malaysia sementara produk dalam negara yang dihasilkan di Malaysia tidak akan terkesan dengan cukai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program R.E.N.E.W: Reuse, Educate, Nurture, and Empower with Waste kerjasama iCEPS UiTM di Dataran Sri Angkasa Jaya, di sini hari ini.

Fahmi berkata, pelaksanaan cukai tersebut pertama kali dibangkitkan dalam Belanjawan 2022 dan sepatutnya mula dilaksanakan pada April tahun ini.

“Tetapi, kerajaan telah putuskan akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 dan terpakai untuk produk-produk yang diimport dari luar negara bernilai RM500 ke bawah.

“Saya harap ini dapat mengurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut. Orang ramai boleh rujuk laman sesawang rasmi Kastam untuk maklumat lebih terperinci,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan adakah rakyat terutama para penjual dan pembeli benar-benar faham mengapa cukai itu dilaksanakan.

Terdahulu, JKDM mentakrifkan LVG sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Mereka yang menjual LVG di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian LVG mesti mendaftar dengan JKDM jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI