PETALING JAYA – Seorang bapa kepada pelajar sebuah sekolah meluahkan kekecewaannya melalui satu surat terbuka selepas mendapati anaknya digunakan oleh seorang perunding pendidikan dengan menerapkan budaya ‘pick up line’ bagi memperkenalkan syarikatnya kepada umum di media sosial.
Bapa tersebut secara terbuka mendedahkan dia kecewa apabila budaya ‘pick up line’ itu dikongsi pihak penganjur di media sosial antara lain bagi proses ‘marketing’ (pemasaran) perkhidmatan mereka.
“Saya salah seorang ibu bapa yang anaknya sudah digunakan dalam kandungan video dan pemasaran pihak berkenaan berasa sangat kecewa dengan tindakan yang kalian telah lakukan.
“Anak-anak kami bukan bakat percuma yang kalian boleh perdagangkan secara percuma untuk digunakan sebagai alat atau bahan marketing. Sudah pasti pihak sekolah telah membayar kalian untuk program-program tersebut,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lelaki tersebut turut mempersoalkan jika pihak penganjur telah mendapat keizinan daripada semua ibu bapa penjaga kepada pelajar yang menyertai aktiviti tersebut mahupun tidak untuk menggunakan anak-anak mereka sebagai bahan pemasaran.
“Adakah kalian semua telah meminta izin pihak sekolah, guru-guru atau ibu bapa untuk menggunakan wajah mereka sebagai bahan ‘marketing’ kalian?
“Saya sebagai ibu bapa tidak mengizinkan bahkan mengharamkan kalian menggunakan wajah anak saya dan saya menganggap ‘pick up line’ sewajarnya dihentikan kerana tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian,” jelas lelaki tersebut.
Katanya lagi, aktiviti tersebut boleh dilihat dengan jelas pelajar akan ‘menggatal’ bukan untuk membuatkan para pelajar ini menjadi berani apabila berhadapan dengan umum.
“Cukup sekadar pantun, gurindam, sajak dan syair itu budaya kita sudah ada jika ingin mereka menjadi berani.
“Saya faham ia hiburan, jenaka tetapi, bagi pasukan konsultan, tak akan kalian tidak mampu menghasilkan hiburan dan jenaka yang bersifat ilmiah dan matang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.