BAGAN SERAI – Ahli keluarga kepada pemandu kren, J. Mizan Ideris, 47, yang rangkanya dijumpai dalam semak di tepi Jalan Bukit Aping Bandar Baharu tiga hari lalu meminta agar pihak yang berkenaan dapat menyerahkan rangka mayat bagi urusan pengebumian.
Warisnya, Mohamad Zulashraf, 24, berkata, keseluruhan ahli keluarga masih menantikan keputusan daripada pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi membawa pulang rangka mayat ayahnya untuk dikebumikan.
“Kami diberitahu bahawa rangka ayah akan menjalani proses ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di HSB untuk mengesahkan identitinya.
“Namun sehingga hari ini, sama ada saya atau waris yang terdekat masih belum dipanggil bagi tujuan itu dan kami semua berharap agar proses itu dapat segera dilakukan bagi membolehkan segera urusan pengebumian,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali di kediamannya di Parit Haji Kassim 2, Alor Pongsu disini hari ini.
Menurut Mohamad Zulashraf, mereka sekeluarga masih lagi dalam keadaan bersedih selepas penemuan rangka mayat ayahnya di kawasan Jalan Bukit Aping pada 13 Disember lalu.
“Lebih memilukan hati kami sekeluarga terutamanya Tok Wan (Mat Radzi Ali) saya, bila mendapati ayah pergi meninggalkan kami semua dalam keadaan sebegitu rupa.
“Sejak dia hilang pada 30 November lalu, kami sekeluarga berusaha mencarinya di pelbagai lokasi laluan dan termasuk di laluan rangkanya ditemukan,” katanya
Bapa mentua J. Mizan, Mat Radzi Ali, 69, berkata, dia amat berharap agar pihak hospital dapat segera mengembalikan mayat menantu kesayangannya.
Terdahulu,media melaporkan penemuan rangka manusia didalam semak di jalan Bukit Aping tiga hari lalu dan dipercayai rangka itu ialah pemandu kren yang dilaporkan hilang pada penghujung November lalu. – KOSMO! ONLINE