WASHINGTON – Seorang wanita membuat kejutan dalam aplikasi TikTok apabila dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya hanya kerana lelaki itu tidak menggunakan tisu tandas, lapor akhbar New York Post semalam.
Alexandra Maria Clara, dari Tampa, Florida, memperincikan hubungan cintanya dengan lelaki berkenaan dalam klip video yang merekodkan lebih 900,000 tontonan di media sosial itu.
Dalam klip video itu, Clara berkata, dia pergi ke bilik air di rumah bekas kekasihnya yang tidak dinamakan itu dan mendapati tiada kertas tandas kerana telah kehabisan.
Ketika itu, wanita itu tidak menganggapnya sebagai serius kerana dia membawa tisu di dalam begnya.
Namun, Clara kemudian datang semula ke rumah bekas kekasihnya dan mendapati tiada tisu tandas di dalam bilik air itu tetapi kemudian memberitahunya bahawa dia terlupa untuk membelinya.
Wanita itu akhirnya mengetahui tabiat bekas kekasihnya apabila mereka pergi ke sebuah kedai dan dia memintanya untuk membeli tisu tandas.
Bekas kekasihnya itu akhirnya memberitahu kepadanya bahawa dia hanya menggunakan tisu basah dan bukannya tisu tandas menyebabkan Clara kemudian memutuskan hubungan dengannya. – AGENSI