fbpx

Wanita Myanmar hamil tujuh bulan menangis ditahan imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita warga Myanmar (kiri) yang hamil tujuh bulan antara ditahan dalam Ops Mega Bersepadu di kawasan perumahan pekerja ladang di Ladang Bukit Perak, Pendang awal pagi ini.

PENDANG – Seorang wanita warga Myanmar yang hamil tujuh bulan hanya mampu menangis apabila ditahan imigresen dalam Ops Mega Bersepadu di kawasan perumahan pekerja ladang kelapa sawit dan getah di Ladang Bukit Perak, di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, wanita berusia 36 tahun terbabit ditahan bersama suaminya berusia 37 tahun di salah sebuah rumah di perumahan tersebut.

Pasangan suami isteri terbabit merupakan antara 51 warga asing berusia antara 17 hingga lingkungan 50-an yang dicekup dalam operasi selama kira-kira tiga jam.

Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan pekerja warga asing di situ sedang berehat dan tidur rumah masing-masing sebelum sebilangan daripada mereka melarikan diri sebaik menyedari kawasan itu diserbu pihak berkuasa.

Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an, juga warga Myanmar luka pada kaki akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri dalam operasi berkenaan.

Terdapat kira-kira 100 buah rumah di perumahan tersebut yang didiami pelbagai warganegara termasuk Indonesia, Myanmar dan Bangladesh.

Lelaki warga Myanmar yang cedera akibat terjatuh selepas cuba melarikan diri daripada ditahan imigresen dalam Ops Mega Bersepadu di kawasan perumahan pekerja ladang di Ladang Bukit Perak, Pendang awal pagi ini.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain memberitahu, serbuan ke atas perumahan pekerja yang terletak agak jauh dari jalan utama itu dilakukan hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya selama sebulan.

“Dalam operasi awal pagi ini, terdapat beberapa warga asing yang cuba melarikan diri sehingga seorang daripada mereka cedera pada kaki.

“Lelaki yang cedera itu kemudian diberikan rawatan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan setelah dia mengadu sakit pada dada,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Katanya, turut ditahan seorang wanita hamil tujuh bulan yang juga akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, kata beliau, seramai 66 pekerja asing diperiksa dengan 51 ditahan untuk siasatan lanjut berkaitan dokumen perjalanan dan permit kerja di bawah Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI