LANGKAWI – Seorang lelaki yang merupakan pekerja kedai emas ditemui mati lemas di Tanjung Rhu, di sini petang ini.
Mayat mangsa, Mohd. Khairie Shaari, 32, ditemui kira-kira 250 meter dari tempat dia dipercayai lemas pada pukul 6.55 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pengecaman mayat mangsa dibuat oleh ibunya.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, mangsa dikhuatiri lemas apabila dilihat terkapai-kapai ketika berenang di kawasan pantai tersebut.
Seorang pengunjung, Amira Asyikin Isni, 34, berkata, dia menyedari kejadian ketika sedang memasang khemah di tepi pantai bersama seorang rakan.
Katanya, mereka ternampak mangsa berjalan di pesisir pantai sebelum masuk ke dalam air untuk berenang sebelum terkapai-kapai dan menjerit meminta tolong. – KOSMO! ONLINE