ALOR SETAR – Penerima anugerah tertinggi pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-3 Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) hari ini mengakui bahawa biasiswa penuh yang diterima kalangan mahasiswa di pusat pengajian tinggi itu banyak membantu mereka dalam mengubah perjalanan hidup.
Menurut Khadija Mohammed Bakar, 24, dia sendiri menerima manfaat besar daripada perkara itu apabila segala keperluannya untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) di AIU ditanggung sepenuhnya.
Menurut warganegara Tanzania itu, dia yang berasal dari sebuah pulau kecil dikenali sebagai Zanzibar, bukanlah hadir daripada keluarga yang senang.
“Bapa saya tidak bekerja dan hanya membaiki kereta secara kecil-kecilan manakala ibu pula seorang suri rumah. Sebelum datang ke sini, saya sebenarnya sudah melanjutkan pengajian di Kenya dengan semua perbelanjaan perlu ditanggung sendiri.
“Ketika itu, saya dimaklumkan oleh jiran mengenai peluang pengajian di AIU yang memberi biasiswa penuh kepada mahasiswanya. Saya melihat itu sebagai satu peluang untuk membantu keluarga dan berjaya membuat permohonan ketika tarikh permohonan hampir ditutup,” katanya.
Dalam Majlis Konvokesyen itu, Khadija dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sharifah Rokiah iaitu anugerah tertinggi yang disampaikan kepada pelajar mahasiswa paling cemerlang. – KOSMO! ONLINE