PETALING JAYA – Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza yang menderita kanser limfoma dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas tahap kesihatannya dikatakan semakin merosot.
Perkara tersebut dikongsikan rakan seperjuangannya, Azura Aziz yang meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan penyanyi berusia 62 tahun itu.
“Assalamualaikum semua. Buat makluman, sahabat seni kita Ibnor Riza kini sedang dalam keadaan kritikal.
“Apa-apa pun mari kita doakan semoga beliau diringankan sakit dan dipermudahkan segala-galanya.
“Semoga sentiasa dalam rahmat Allah,” tulis mesej yang disebarkan kepada umum sebentar tadi.
Begitupun, isterinya yang juga bekas peserta Kilauan Emas, Sarimah Suleiman tidak menjawab panggilan atau membalas mesej Kosmo! Online bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Terdahulu, penyanyi Meneka Dalam Kesamaran itu masih tidak sedarkan diri sejak menjalani pembedahan mengeluarkan air di kepalanya 2 Disember lalu.
Sarimah atau Seri, 51, dalam temubual dengan Kosmo! Online sebelum ini memaklumkan pembedahan yang berlangsung selama dua jam berjalan lancar, namun suaminya masih ditidurkan bagi memantau keadaan kesihatannya.
“Doktor beritahu perkembangnya sangat perlahan. Ada kuman yang mengakibatkan komplikasi kepada organ lain termasuk buah pinggang suami,” katanya.
Ibnor menjalani pembedahan itu di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Bandar Tun Razak, Cheras selepas mengadu sakit kepala.
Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama, tetapi mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.
Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu sehingga kini juga difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan pusingan.
Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga kereta. – KOSMO! ONLINE