Setiap lubuk ikan sentiasa menjanjikan cabaran baharu kepada fizikal dan mental pemancing.
Cabaran getir yang mendatang bukan sahaja ketika memancing di kuala, muara sungai, tasik dan lombong, malah di laut bergelora yang mempunyai pelbagai spesies ikan.
Dalam suasana ekonomi yang getir ketika ini, golongan pemancing sanggup turun ke tengah laut bagi melunaskan minat sambil membawa pulang sumber protein buat keluarga.
Salah seorang pemancing tegar dari Klang, Selangor, Zulkanain Johari, 51, memiliki pengalaman luas dalam mencari ikan di lautan.
Ujarnya, dia pernah beradu kekuatan dengan ikan talang di perairan Selat Melaka iaitu berhampiran Batu Laut, Kuala Langat, Selangor.
“Perjalanan awal pagi dari Klang ke Batu Laut cukup berbaloi apabila anak mata disajikan pemandangan kampung dan tempat peranginan seperti Morib.
“Kumpulan saya seramai lima orang termasuk tekong sememangnya mencari cabaran baharu memancing di Batu Laut,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.
Zulkanain yang merupakan seorang penjawat awam berkata, kisah kawan-kawan yang biasa ‘beradu’ dengan ikan tenggiri, giant trevally (GT) dan gerong belang di Batu Laut menggerakkan hatinya untuk ‘memikul’ joran pelbagai jenis ke lokasi tersebut.
Katanya, pengalaman memancing sejak usia muda di negeri kelahiran di Perak dan semasa bertugas di Sabah digunakan sepenuhnya semasa sesi ‘menaikkan’ ikan.
“Keseronokan memancing mestilah semasa umpan dimakan ikan.
“Kami menggunakan teknik ‘fast jig’ iaitu menggunakan jig berwarna (krom, candy, luminus) yang mempunyai berat 60 gram sehingga 120 gram.
“Pengalaman beradu kekuatan semasa menaikkan ikan talang bukan sahaja menggembirakan, malah sempat dirakam oleh kawan-kawan,” katanya.
Jelasnya lagi, cuaca panas dengan hembusan bayu Selat Melaka yang mendamaikan menjadikan suasana memancing lebih kondusif walaupun tenaga dikerah dari awal pagi.
Ceritanya, kawasan kumpulannya memancing merupakan laluan kapal dagang yang memerlukan mereka sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
“Selat Melaka adalah antara laluan kapal dagang yang paling sibuk di dunia. Kami sentiasa berhati-hati memantau di sekeliling agar tiada perkara memudaratkan berlaku.
“Biarpun banyak kapal, namun seperti yang pemancing tegar selalu katakan, tiada wilayah yang dapat menahan pemancing tegar untuk masuk,” katanya.
Mengulas mengenai hasil tangkapan, Zulkanain memaklumkan, dia dan rakan-rakannya berhasil menaikkan hampir 20 ekor ikan talang.
Menurutnya, aktiviti memancing bukan sahaja memberi ruang untuk dirinya melupakan sejenak masalah seharian di pejabat, malah menenangkan hati apabila melihat keindahan senja di Batu Laut.
Dia yang juga merupakan seorang ahli sukan berkata, aktiviti riadah bersama rakan-rakan lebih berkualiti jika ada ‘pertandingan’ dalam suasana mesra.
“Semasa memancing di Batu Laut saya dan rakan-rakan mendapat banyak ikan talang. Walau apa pun jenisnya, masing-masing mendapat habuan dari laut.
“Menariknya, suasana laut yang kurang bergelora memudahkan kami menaikkan ikan-ikan,” katanya.
Sementara itu, dia memberitahu, Batu Laut memang sesuai untuk aktiviti memancing secara tenang tanpa laut bergelora yang memabukkan.
Mengulas mengenai kemudahan di Batu Laut, dia berkata, pihak berkuasa menyediakan pelbagai prasarana buat pemancing di pangkalan.