PETALING JAYA – Wartawan Al Jazeera, Samer Abudaqa dilaporkan terbunuh manakala rakannya, Wael Dahdouh cedera dalam serangan udara Israel di Khan Younis, selatan Gaza, semalam.
Dalam kejadian itu, Samer yang juga jurufoto dan Wael dikatakan sedang membuat liputan di Sekolah Farhana di Khan Younis sebelum mereka diserang rejim Zionis.
Menurut jurucakap Al Jazeera, pasukan penyelamat sudah berjaya mendapatkan mayat Samer, manakala Wael dihantar ke Hospital Nasser untuk rawatan lanjut.
“Dalam pengeboman hari ini di Khan Younis, Israel melepaskan peluru berpandu ke sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan sekali gus mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam.
“Berhubung kecederaan Samer, dia yang mengalami pendarahan dibiarkan selama lebih lima jam, kerana tentera Israel menghalang ambulans dan pekerja penyelamat daripada mendekatinya,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai liputan di Sekolah Farhana, Wael berkata, dia dan Samer mengiringi pasukan penyelamat dalam misi untuk memindahkan sebuah keluarga selepas rumah mereka dibom.
“Kami merakam kemusnahan yang dahsyat dan sampai ke tempat yang tidak dicapai oleh mana-mana lensa kamera sejak operasi darat Israel dimulakan,” jelasnya.
Sementara itu, menerusi Instagram Eye On Palestine, memaparkan kesedihan serta suasana hiba rakyat Palestin ketika pasukan penyelamat membawa pulang jenazah Samer.
Untuk rekod, ribuan rakyat Palestin dari bahagian tengah dan utara Gaza telah mencari perlindungan di Khan Younis sejak perang bermula pada Oktober.
Bagaimanapun, sebahagian besar telah ditolak lebih jauh ke arah bandar paling selatan di jalur Rafah selepas Israel mempergiatkan operasi ketenteraannya di Khan Younis. – KOSMO! ONLINE